IKLAN NUFFNANG

Wednesday, February 10, 2010

SABAR DAN TERUS BERSABAR

Seringkali kita mendengar mereka berkata: as sobru minal iman! = kesabaran itu adalah sebahagian dari iman. Firman Allah: " Katakanlah! tidak akan ditimpa musibah kepada kita melainkan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita, dan DIA lah Tuhan kita!" [atTaubah:51].

Ini merupakan satu ayat akidah yang memberikan satu pemahaman yang luas bagi kita sebagai muslim yang amat percayakan kekuasaan Allah. Ayat ini sering dibaca oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal ketika diseksa oleh pemerintah Abbasiyah di zamannya. Betapa tinggi kesabarannya ketika itu menghadapi situasi yang tidak boleh dibayangkan oleh kita. Kerana apa beliau diseksa? Jawapannya: hanya kerana mempertahankan bahawa Kalamullah itu bukanlah makhluk! Itulah akidah dan prinsip mereka yang berilmu. Tetap teguh dengan pendirian mereka yang bertunjangkan wahyu Allah dan kepercayaan mereka demi menolak fatwa yang hanya berlandaskan hawa nafsu dan logik semata. Ayat ini cukup kuat merangsang diri muslim sebenarnya, sekiranya mereka benar-benar beriman kepada Allah Taala, cukuplah kita dengan ayat ini...

Dalam hadis Nabi SAW ada menyebutkan: dari Anas b Malik r.a. berkata: "Nabi SAW telah melintasi perkuburan dan baginda SAW melihat seorang wanita sedang meratapi di sebuah kubur, lalu baginda SAW bersabda: bertaqwalah kepada Allah, dan bersabarlah!, wanita itu sebaliknya berkata: pergilah kamu! sesungguhnya kamu tidak merasai apa yang aku rasai sekarang ini dan kamu tidak akan tahu (bagaimana rasanya)!, lalu ada orang yang di sampingnya memberitahunya bahawa yang menegur beliau tadi ialah RasuluLLah SAW. maka dia datang ke rumah Nabi SAW.., lantas dia berkata: aku tidak mengenali engkau! Nabi SAW menjawab: sesungguhnya kesabaran itu adalah ketika musibah yang pertama".(alBukhari & Muslim).

Kesabaran ini dikira dalam masa yang pertama, sebaik sahaja kita mendengar berita buruk itu di telinga kita, itulah kesabaran namanya. Yang selepas itu tidak lagi dinamakan sabar. Contohnya diceritakan oleh AbduLlah b Yusuf menceritakan Malik mengkhabarkan Ibn Syihab daripada Said b Al Musayyab dari Abu Hurairah r.a. berkata: " Sesungguhnya RasuluLLah SAW bersabda: " bukanlah kekuatan itu dengan menunjukkan kekuatan dengan berlawan tetapi kekuatan itu ialah mereka yang berjaya menawan dirinya ketika marah". [alBukhari]

Maka ketika itulah akal memainkan peranan yang penting dalam mengawal minda kita dan kesabaran amat diperlukan ketika itu. Namun dalam soal ini, kesabaran kita ada batas dan hadnya juga, bukanlah bererti apabila kita mendengar sesuatu berita sedih tidak boleh langsung untuk kita menangis, hal itu dibolehkan tetapi tidaklah keterlaluan dan bukanlah kita apabila diajak berlawan berulangkali dan dibuli masih terus berdiam diri, itu dayus namanya, tahap kesabaran kita adalah yang pertama, selepas itu mari kita perhatikan kata-kata al Imam As Syafie ini:

" Barangsiapa yang diminta agar diredhai dan dia tidak redha maka dia ialah syaitan serta barangsiapa yang diminta agar marah (diajak atau diperbodohkan agar marah) dan dia tidak marah, maka itu adalah keldai ".

Hanya keldai yang tidak marah walaupun apabila dipukul dan disebat berulangkali, maka kata-kata itu amat bertepatanlah dengan keadaan kita kini. Di mana ratusan saudara Islam kita dibunuh sewenang-wenangnya di Palestin sejak tahun 1948, peristiwa Masjid Babri yang diruntuhkan pada 1992, pembunuhan beramai-ramai di Bosnia, Kosova dan lain-lain negara yang terdapat minoriti masyarakat Islam. maka dalam konteks ini, itu bukanlah dinamakan sebagai sabar, bahkan itulah yang dinamakan himar atau keldai. Islam bukanlah agama yang bodoh dan terlalu lembut namun kita ada keseimbangan dalam aspek kesabaran. Itulah keadilan Islam sebenarnya!

Diceritakan oleh Syaiban b Farukh menceritakan Sulaiman b Mughirah daripada Tsabit Al Bannani daripada Anas b Malik r.a. berkata: " Telah bersabda RasuluLLah SAW: telah lahir kepadaku malam ini seorang anak lelaki, maka aku namakannya sempena nama bapa ku Ibrahim a.s.... berkata Anas: aku telah melihat dia sedang bergelut dengan kematian di tangan Nabi SAW, maka mengalir air mata baginda SAW dan Nabi SAW bersabda: airmata mengalir dan hati begitu sedih, namun kita tidak mengatakan melainkan apa yang diredhai oleh Allah Tuhan kita, sesungguhnya kami terhadap mu wahai Ibrahim amat bersedih hati. [Abu Daud, rujuk al Bukhari, Muslim dan Ahmad].

Maka di sini ada satu hadis yang menolak tanggapan dalam masyarakat kita yang melarang daripada menangis langsung terhadap musibah kematian.

Hal ini menunjukkan bahawa kita bersabar dan cuba menyelesaikannya dengan jalan yang lebih baik.Sejarah telah membuktikan berapa kalikah cubaan untuk menawan kota Constantinople atau Istanbul sekarang ini, sehinggakan bersemadinya jasad Abu Ayyub al Ansoriy di bawah bentengnya. Cubaan demi percubaan dilakukan, namun akhirnya pada zaman Sultan Muhammad al Fatih at Tsani, barulah berjaya ditawan. begitulah semangat, semangat sebenarnya tidak pernah padam bagi mereka yang PERCAYA! Percaya kepada Allah dan janji RasulNya dan percayakan juga kepada dirinya.

Semoga segala usaha kita itu diberkati Allah..

Wallaua'lam

No comments :

Post a Comment