IKLAN NUFFNANG

Sunday, March 14, 2010

TEMPOH HAID

Akil Baligh Wanita

Umur di mana seorang wanita boleh berhaid ialah sekurang-kurangnya 9 tahun qamariah iaitu bersamaan 8 tahun 7 bulan dalam tahun masihi. Apabila seorang wanita itu berhaid buat kali pertama, wanita tersebut dikatakan telah mencapai akil baligh. Persoalannya di sini, adakah yang dikatakan sekurang-kurangnya 9 tahun itu mestilah genap 9 tahun atau hampir-hampir sembilan tahun?

Di sini terdapat sedikit perbahasan atau khilaf di kalangan ulamak yang mana terdapat ulamak yang mengatakan sekurang-kurangnya 9 tahun qamariah itu mestilah dengan tahdid (tepat) dan ada pula yang mengatakan hanya dengan takrib (hampir-hampir). Pendapat yang paling tepat (qaul ashoh) mengatakan bahawa seorang wanita boleh berhaid sekiranya mencapai umur hampir 9 tahun (takrib). Manakala ada pendapat yang mengatakan perlulah genap 9 tahun (tahdid), tiada lebih, tiada kurang sedikit pun dan ini merupakan pendapat yang didokong oleh Sheikh Ramli.

Sembilan Tahun Dengan Takrib

Yang dikatakan 9 tahun dengan takrib bermaksud tempoh 15 hari atau kurang (≤ 15 hari) sebelum seorang wanita mencapai umur 9 tahun. Tempoh 15 hari atau kurang ini bersamaan dengan tempoh sekali haid dan sekali suci.
Sekali haid bermaksud tempoh sekurang-kurang haid iaitu sehari semalam dan sekali suci bermaksud tempoh sekurang-kurangnya suci daripada haid iaitu 15 hari 15 malam menjadikan kesemuanya berjumlah 16 hari.
Contoh masalah ini adalah sekiranya seorang wanita itu berumur 8 tahun 11 bulan 24 hari, tahun qamariah (bersamaan dengan 8 tahun 6 bulan 24 hari, tahun Masihi) dan dia mendapati bahawa darah mengalir keluar dari farajnya, adakah darah ini dihukum haid? Jawapannya ya. Ini kerana umur 8 tahun 11 bulan 24 hari itu hanya tinggal 6 hari sahaja lagi untuk mencapai umur 9 tahun qamariah dan 6 hari ini termasuk dalam tempoh 15 hari atau kurang (≤ 15 hari).

8 tahun 11 bulan 24 hari >>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 9 tahun
( 6 hari lagi )
6 hari ≤ 15 hari (sekali haid sekali suci)

Tetapi sekiranya wanita itu berumur 8 tahun 11 bulan 5 hari atau 8 tahun atau 7 tahun dan seterusnya, sekiranya dia mendapati darah mengalir keluar dari farajnya maka darah ini tidak boleh dihukum haid kerana 8 tahun 11 bulan 5 hari ini perlukan 25 hari lagi untuk mencapai umur 9 tahun dan 25 hari ini adalah lebih 15 hari (≥ 15 hari) untuk menyamakan dengan sekali haid sekali suci.

8 tahun 11 bulan 5 hari >>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 9 tahun
( 25 hari lagi )
25 hari ≥ 15 hari (sekali haid sekali suci)

Inilah yang dikatakan 9 tahun dengan takrib. Perlulah diingat bahawa contoh di atas adalah 9 tahun qamariah bukan Masihi. Jika di congak mengikut kalendar Masihi tempoh umur ini akan menjadi lebih awal kerana 9 tahun qamariah bersamaan dengan 8 tahun 7 bulan Masihi.

No comments :

Post a Comment