Di dalam ayat 163- 168 surah al-A'raf, Allah telah menceritakan kepada kita mengenai satu kaum yang tinggal berhampiran dengan laut yang mana antara sumber rezeki mereka yang utama adalah daripada hasil tangkapan ikan. Kaum ini dinamakan ahli Sabtu kerana beberapa sebab tertentu. Kisah ini sebagaimana kisah-kisah yang lain di dalam al-Quran iaitu untuk dijadikan tauladan dan juga peringatan kepada kita semua.
163. dan tanyakanlah kepada bani Israel mengenai negeri yang terletak berhampiran dengan laut ketika mereka melanggar peraturan pada hari Sabtu, pada masa datangnya ikan-ikan kepada mereka terapung-apung di permukaaan air, dan pada hari selain Sabtu ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami mencuba mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
164. Dan(ingatlah) ketika suatu puak di antara mereka berkata : " Mengapa kamu menasihati puak yang mana Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?". Mereka menjawab :" Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan supaya mereka bertaqwa".
165. Maka ketika mereka melupakan apa yang telah diperimgatkan kepada mereka, kami selamatkan mereka yangmelarang daripada perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada mereka yang zalim siksaan yang keras disebabakn mereka sentiasa betlaku fasik.
166. maka ketika mereka bersikap sombong terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepada mereka : "Jadilah kamu kera yang hina".
167. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim kepada mereka(orang yahudi) samapai hari qiamat mereka yang akan ditimpakan ke atas mereka azab yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya dan sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
168. Dan Kami bahagikan kepada mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan di antaranya ada orang-orang yang soleh dan di anatra mereka ada yang tidak sedemikian. Dan Kami uji mereka dengan(nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali(kepada kebenaran)
RINGKASAN KISAH
Allah menceritakan kepada kita tentang kisah satu kampung Yahudi yang terletak berhampiran dengan pantai. Penduduk kampung ini telah diperintah agar tidak menangkap ikan pada hari Sabtu tetapi pada hari yang lain mereka dibenarkan berbuat demikian. Allah menguji mereka iaitu dengan menjadikan ikan di dalam laut menjauhi penduduk kampung itu pada hari yang dibenarkan untuk menangkap ikan tetapi pada hari Sabtu ikan-ikan itu datang secara berkelompok dan kelihatan terapung-apung di atas permukaan air laut.
Pada masa inilah syaitan datang menggoda mereka agar menangkap ikan pada hari Sabtu sehingga melupakan mereka mengenai larangan Allah. Syaitan telah memberi jalan kepada mereka bagaimana cara untuk menangkap ikan pada hari tersebut yang mana mereka menganggap dengan cara itu Allah tidak melarangnya. Apabila melihat adanya kumpulan yang engkar dengan larangan Allah maka timbul pula dua kumpulan yang agak berbeza pendapat mengenai tugas memperingatkan kepada mereka yang telah engkar itu tentang kesalahan mereka. Kumpulan pertama merupakan mereka yang soleh dan pendakwah yang menjalankan kewajipan mereka. Mereka telah memarahi orang-orang yang engkar dan menunjukkan perasaan benci dan tidak bersetuju dengan tindakan mereka yang engkar dengan larangan Allah itu.
Manakala kumpulan kedua pula terdiri daripada mereka yang diam sahaja dengan apa yang berlaku yang mana tidak usaha yang dilakukan untuk menegah mereka yang engkar. Mereka hanya tidak bersetuju dalam hati tanpa diusahakan dengan kuasa yang ada. Mereka juga melahirkan rasa tidak bersetuju dengan kumpulan pertama yang menasihati serta menegah mereka yang engkar dengan jelas kerana bagi mereka sudah tidak berguna segala nasihat dan peringatan yang diberi sedangkan mereka merupakan puak yang akan dihancur dan diazab oleh Allah. Kumpulan pertama menghadapi persoalan yang ditimbulkan oleh kumpulan kedua dengan baik dan brrhikmah yang mana mereka menyatakan bahawa tujuan dan matlamat sebenar mereka melakukan tegahan dan teguran secara jelas kepada mereka yang engkar adalah untuk menunaikan kewajipan serta boleh dijadikan alasan di hadapan Allah nanti di akhirat. Disamping itu juga mereka begitu mengharapkan agar puak yang degil itu kembali bertaubat dan bertaqwa kepada Allah.
Ketika Allah menurunkan bala ke atas mereka yang engkar tadi iaitu dengan menukar bentuk mereka menjadi kera yang hina yang mana pertukaran rupa bentuk ini adalah yang sebenar bukannya dari segi sifat sahaja.Tetapi kera-kera ini tidak meninggalkan nasab mereka yang mana mereka tidak hidup selepas itu melainkan sedikit. Manakala kumpulan pertama yang terdiri daripada pendakwah yang soleh diselamatkan dan mereka dimasukkan dalam golongan yang berjaya. Nasib kumpulan dua pula tidak dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang menyebabkan ulama' berselisih faham mengenai mereka yang mana ada di kalangan ulama' mengatakan mereka ini diselamatkan dan ada juga yang mengatakan bahawa mereka turut dihancurkan oleh Allah bersama mereka yang engkar.
PENGAJARAN
1. Kampung dalam kisah ini menggambarkan salah satu kampung daripada kampung, bandar atau negeri yang lain yang mana tidak dapat tidak penduduknya berpecah menjadi tiga iaitu satu kumpulan yang engkar, satu kumpulan yang berani berhadapan dengan mereka yang engkar dan satu kumpulan lagi diam daripada berhadapan dan memberi nasihat kepada mereka yang engkar.
2. Allah sentiasa Menguji manusia dengan memberi kepada mereka tanggunjawab untuk dilaksanakan. Antara mereka mereka yang bersungguh-sungguh dan istiqomah sehingga berjaya dan ada pula mereka yang mengikut hawa nafsu dan engkar yang mana mereka menemui kegagalan di dunia dan akhirat.
3. Perbezaan yang ketara antara peribadi yahudi yang tidak beriltizam dengan segala peringatan Allah dengan peribadi para sahabat dan muslim yang sentiasa bermujahadah dan mengatasi nafsu mereka.
4. Ikan yang datang ke kampung untuk menguji iman ahli kampung itu merupakan tentera Allah yang sentiasa taat dan patuh dengan segala arahan iaitu mendekati pantai apabila tibanya hari Sabtu dan menjauhinya pada hari yang lain.Hanya Allah sahaja yang dapat mengetahui tentera-tenteraNya.
5. Mereka yang soleh telah menegah segala kemungkaran yang telah dilakaukan oleh mereka yang engkar yang mana mereka ini telah menjalankan tanggungjawab yang diwajibkan oleh Allah. Tindakan mereka ini bukanlah bertujuan menjaga tepi kain orang lain tetapi adalah menunaikan kewajipan. Ia juga bukan bermaksud menyekat kebebasan dan pilihan orang lain.
6. Tidak boleh dianggap kebebasan individu atau kepentingan peribadi apabila sesuatu yang dilakukan bercanggah dengan maslahat masyarakat. Kebebasan individu akan berakhir apabila bermulanya maslahat atau kepentingan masyarakat. Seseorang individu tidak mempunyai hak untuk melakukan sesuatu yang memberi kemudharatan atau keburukan kepada masyarakat dan perbuatannya hanya menempah bala daripada Allah.
7. Para pendakwah dituntut agar menjalankan kerja dakwah dan nasihat yang mana jika mereka tidak menunaikannya maka mereka akan menempah bala dan akan dipertanggungjawab.
8. Ketika maksiat berleluasa,maka wajib para pendakwah untuk berterusan dalam menjalankan kerja dakwah sehingga manusia tidak melupakan kesalahan dan keengkaran mereka yang boleh membawa kepada keadaan yang lebih parat dan kritikal lagi.
9. Lupa kepada hukum-hakam Islam akan menyebabkan musibah dan bala yang lebih teruk kerana lupa merupakan pendahuluan kepada turunnnya bala.
10. Ketika turunnya bala tiada lagi jalan untuk menghindarinya melainkan dengan menunaikan kewajipan dalam berdakwah.
11. Kita mesti yakin dengan kekuasaan Allah dalam menjadikan sesuatu seperti menukara rupa bentuk manusia yang engkar kepada kera yang hina. Jadi al-Quran telah menjelaskan secara terang mengenai pertukaran ini yang mana memberi peringatan kepada kita bahawa pertukaran mayat menjadi babi sebagai heboh baru-baru ini tidaklah menjadi sesuatu yang pelik jika kita benar-benar beriman kepada Allah. Jangan lihat perkara ini melalui logik akal semata-mata tetapi mestilah berdasarkan perunjuk wahyu.
No comments :
Post a Comment