IKLAN NUFFNANG

Monday, June 2, 2014

KISAH DUA ORANG TUA NAIK CRUISE


Bismillah...

Diceritakan ada sepasang orang tua yang baru lepas bersara, Mak Timah dan Pak Hasan. Mereka dahulunya bekerja makan gaji dan kini baru bersara. Maklumlah bila bersara ni dapat duit EPF yang dahulunya mereka mencarum. Ada la lebih kurang dalam ratusan ribu ringgit.

Mereka juga mempunyai 3 orang anak, kesemuanya sudah dewasa dan sudah bekerja. Kiranya anak mereka ni semuanya panda-pandai belaka. Mak Timah dan Pak Hasan ni mempunyai sikap yang kurang baik. Mereka terlalu kedekut dan berkira soal perbelanjaan. Mungkin mereka pernah merasa susah sewaktu membesarkan kesemua anak-anak mereka. 

Suatu hari, anak sulung mereka Zamri berkata, "Ayah dan mak tak nak ke pergi bercuti, rehat-rehatkan badan penat bekerja dulu."
"Eh, membazir duit je jalan-jalan....baik simpan duit tu," kata Pak Hasan.
"Buat apa mak dan ayah nak simpan duit tu, kami semua dah besar-besar dan tak perlu ditanggung lagi," kata Zamri.
"Tapi sayanglah...bukan senang nak dapat duit. Kami pernah merasa betapa susahnya cari duit. Baik duit yang ada disimpan kan lebih baik," sampuk Mak Timah.
"Kalau mak dan ayah sayang sangat duit tu, tak apa la biar Zamri yang tanggung percutian mak dan ayah. Nanti Zamri tempah percutian yang best-best untuk mak ayah," balas Zamri.

Selang beberapa hari, Zamri dengan seronoknya menghadiahkan pada mak ayahnya pakej percutian mengelilingi negara Eropah menggunakan cruise...belayar di lautan. Harga keseluruhannya lebih kurang RM30K demi sayangkan mak ayahnya.

Masa yang dinantikan telah pun tiba, mak ayah Zamri pun pergilah bercuti. Kali pertama mereka naik cruise mereka rasa terpegun dan seronoknya tak terkata. Dalam kapal tersebut ada banyak keseronokan yang disediakan. Ada kolam renang, gymnasium, restoran mewah, tempat karaoke, spa dan semuanya bertaraf lima bintang ditambah pula setiap malam dapat berehat menikmati suasana laut dan angin meniup sepoi-sepoi bahasa.Memang menakjubkan!

Tetapi Mak Timah dan Pak Hasan ni tetap dengan perangai mereka. Ketika waktu makan, orang ramai berpusu-pusu ke restoran mewah menikmati hidangan lazat, mereka hanya makan dalam bilik dengan menikmati mi segera yang mereka bawa dari rumah.

Setiap hari suasana di atas kapal sangat meriah dengan orang berseronok dan menikmati percutian tetapi mereka hanya berkurung dalam bilik, tidak bergaul dengan orang lain.



Tiba masanya, kapal mendarat setelah hampir 15 hari belayar di lautan. Pegawai yang bertugas di atas kapal tersebut mengucapkan selamat jalan kepada para penumpang kapal sambil melambai-lambai tangan di muka pintu kapal.

Sewaktu Mak Timah dan Pak Hasan menuju keluar di muka pintu kapal, pegawai tersebut menyapa mereka.
"Hai Makcik Pakcik, kenapa saya jarang nampak anda semasa pelayaran? Sewaktu makan pun saya tak nampak. Kemana anda pergi?" tanya pegawai tersebut.
"Maklumlah, kami nak berjimat cermat, kami makan mi segera je dalam bilik. Mana mampu makan di restoran mewah tu," jawab Pak Hasan.
"Aduh makcik, pakcik......sebenarnya segala kemudahan, kemewahan dan makan minum sepanjang kita belayar 15 hari, makcik pakcik dah siap bayar!!"

Makcik Timah dan Pak Hasan merenung sesama sendiri......

p/s : Moral cerita ini ialah, sesekali kita jangan berkira dengan diri sendiri. Kadangkala kita perlu juga menghargai diri kita. Kita perlu dulu sayangkan diri kita dari orang lain.
Kita selalu bagi diskaun pada diri kita dan jual diri terlalu murah. 

Bekerja lebih rajin, usaha lebih gigih. Purata manusia diskaun diri ialah 1/4. Jika kita rasakan usaha kita dah cukup kuat dan pencapaian kita dah cukup baik, maka perlu ingat sebenarnya kita boleh pergi 4 kali ganda lebih hebat dari kita yang sekarang.

Jadi, jangan diskaun diri, tapi serlahkan kehabatan diri di samping hargai diri sendiri.

Kalau kita tak sayangkan diri sendiri, jangan harap orang lain akan sayangkan kita.
Peace!!!