IKLAN NUFFNANG

Sunday, March 14, 2010

TEMPOH MINIMUM HAID

Tempoh minimum haid adalah sekurang-kurangnya sehari semalam (≥ 1 hari) dan sehari semalam itu keadaannya mestilah berhubung atau berterusan dua puluh empat jam (1 hari). Setiap wanita perlulah sentiasa mengambil berat tentang haidnya kerana haid melibatkan sah atau tidak solat dan puasanya. Mengambil berat tentang haid bermaksud sentiasa periksa pada faraj sama ada terdapat darah atau tidak. Seseorang itu dikatakan berhaid tidak semestinya darah itu mengalir keluar ke tempat yang wajib membasuhnya ketika istinjak (lubang faraj), meskipun tidak mengalir keluar tetapi jika terdapat kesan darah walaupun setitik pada faraj apabila disentuh kapas atau tisu pada tempat keluar darah, itu dihukum haid.

Darah yang keluar mestilah dalam keadaan berhubung dan berterusan keluar bagi menentukan tempoh minimum haid iaitu sehari semalam. Adalah mustahil untuk menghukum darah tersebut sama ada haid atau tidak jika keadaan darah itu tidak berhubung atau berterusan selama sehari semalam.

Contohnya seperti ini; pada 1 Januari jam 1 tengah hari, seorang wanita mengambil kapas lalu menyentuhkan kapas tersebut pada lubang farajnya dan mendapati terdapat kesan darah yang melekat padanya dan ini berlarutan selama sejam iaitu sehingga jam 2 petang. Selepas jam 2, dia mendapati darah tersebut kering dan tiada lagi kesan darah apabila disentuh kapas pada farajnya. Keadaan ini berlanjutan sehingga 24 Januari. Apakah hukum darah tersebut? Bagaimanakah dengan solat dan puasanya?

Jika merujuk jadual di atas, tempoh terdapat darah pada farajnya berlarutan sehingga sejam lamanya dan berhenti (tiada lagi kesan darah). Pada kes ini, wanita itu mendapati terdapat darah pada farajnya pada jam 1 tengah hari dan jam 2 petang darah tersebut tiada setelah disentuh dengan kapas. Ini bermakna darah tersebut telah kering dan berhenti mengalir. Keesokan harinya, 2 Januari sekali lagi dia mendapati terdapat kesan darah pada kapas dan ini berlaku selama sejam. Jika dihitung jumlah jam yang terdapat kesan darah pada kapas adalah sebanyak 24 jam dan ini bersamaan dengan sehari semalam. Wanita ini dikatakan telah berhaid.

Inilah yang dikatakan tempoh haid mestilah berhubung atau berterusan dari hari ke hari. Dalam kes ini, wanita tersebut hanya menyedari bahawa dirinya sedang berhaid pada hari kedua puluh lima iaitu pada 25 Januari. Pada masalah ini, solat bukan menjadi perbahasan di sini kerana solat hanya ditunaikan sekiranya tiada kesan darah pada kapas atau tiada darah yang mengalir keluar. Wanita tersebut mendapati terdapat kesan darah pada kapas pada jam 1 tengah hari sehingga 2 petang. Dalam tempoh ini (1-2 pm), wanita tersebut tidak perlulah solat kerana dirinya masih tidak tahu darah tersebut adalah haid atau tidak. Selepas jam 2 petang, darah tersebut tiada dan dia dikehendaki mandi hadas dan menunaikan solat zuhur seperti biasa sehingga 24 Januari, perkara yang sama juga mesti dilakukan. Pada 25 Januari itulah baru boleh dikenal pasti sama ada darah tersebut haid atau tidak kerana semata-mata untuk mengenal pasti tempoh sekurang-kurang haid iaitu 24 jam bersamaan dengan satu hari. Setelah dikenal pasti, barulah dia perlu qadha puasanya sekiranya 1 Januari sehingga 24 Januari tersebut adalah bulan puasa. Sekiranya, darah tersebut berhenti setakat 23 Januari, maka darah tersebut dihukum istihadhah (akan diterangkan pada bab akan datang) dan tidak perlu mengqadhakan puasanya kerana puasa wanita itu masih sah dan tidak batal selagi mana dia tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

Ingin diingatkan, darah haid tidak semestinya mengalir keluar seperti mana mengalirnya air kencing dari faraj. Hanya jika terdapat kesan darah pada kapas atau tisu apabila disentuh pada faraj itu sudah memadai untuk menghukumkan darah tersebut sama ada haid atau istihadhah.