IKLAN NUFFNANG

Wednesday, January 27, 2010

KENALI IBNU TAIMIYYAH

Nama sebenar beliau ialah Taqiyyuddin Abu Al-Abbas b. Syeikh Syihabbuddin Abdul Halim b. Abi Al-Qasim b. Taimiyyah Al-Haroni dilahirkan pada tahun ( 661 h ) dan matinya pada tahun (728 h), suatu tempat yang bernama Harron dalam keluarga yang berilmu yang bermazhab Hanbali. Kemudian beliau di bawa oleh bapanya ( Syeikh Abdul Halim ) berpindah ke bumi Syam (dikenali sebagai negara Syria pada ketika ini ) kerana takutkan kezaliman tentera Monggol.

Bapanya ialah seorang ulama yang disegani oleh para ulama yang lain dan juga orang-orang kenamaan kerajaan, tidak hairanlah beliau diberi jawatan yang tinggi dalam dalam pemerintahan.

Selepas kematian bapanya, Ibn Taimiyyah mengambil alih tugas tersebut. Kebiasaannya di ketika itu para ulama dan orang-orang kenamaan kerajaan memberi peransang, dorongan dan pujian bila baru menjawat sesuatu jawatan. Di antara mereka adalah At-taj Al-Fazari yang dikenali sebagai Al-Farkah dan anaknya Al-Burhan, Al-Jalal Al-Qozuwaini, Al-Kamal Az-zamlakani, Muhammad b. Al-Hariri Al-Ansari dan lain-lain lagi. Tetapi dorongan dan pujian daripada mereka itu membuatkan Ibn Taimyyah tertipu dan tenggelam dalam pujian tersebut sehingga mula menimbulkan perkara-perkara yang bid`ah di dalam agama.

Biarpun dia seorang yang berilmu dan mempunyai banyak buku karangannya tetapi dia disifatkan oleh Al-hafiz Al-Faqih Waliyyuddin Al-Iraqi iaitu anak kepada Syeikh Al-Huffaz Zainuddin Al-Iraqi di dalam kitabnya Al-Ujubah Almardhiah Ala As'ilah Al-Makkiyyah "Ilmunya lebih besar daripada akalnya" dan beliau juga mengatakan Ibn taimyyah telah melanggari sepakat ulama ( Ijmak ulama ) lebih daripada 60 masalah dalam usul ( Akidah ) dan dalam masalah furuk ( Fekah ).

Anak muridnya sendiri Al-Hafiz Az-Zahabi telah menentang dan mengecamnya di dalam dua buah kitabnya yang dinamakan Bayan Zughlul Ilmu wa Al-Tholab dan kitabnya An-Nasihah Az-Zahabiyyah, kitabnya iaitu Bayan Zaghlul Ilmu Wa Al-Tholab adalah kitab yang thabit (sahih dan benar daripada Az-Zahabi ) kerana Al-Hafiz As-Sakhawi juga mengatakan kata-kata yang sama dengan Az-Zahabi di dalam kitabnya Al-I`lan Bit-Taubigh liman zamma Al-Tarikh. Sehinggakan pengenalan kepada gurunya ( Ibn Taimyyah ) tidak dimuatkan ke dalam kitabnya termasyhur yang terakhir sebelum kematiannya iaitu Sair A`lam an-Nubala'.

Ulama yang lebih alim yang telah menentangnya iaitu Al-Hafiz Taqiyyuddin Ali b. Abdul Kafi As-Subki di dalam kebanyakan kitabnya seperti :

1) Al-Iktibar bi Baqaa'i Al-Jannatu Wa An-Nar kerana menjawab kenyataan yang telah di katakan oleh Ibn Taimiyyah bahawasanya neraka tidak kekal (akan binasa selepas beberapa ketika).

2) Syifa' As-Saqom bi Ziarah Khair Al-Anam menjawab kenyataan Ibn Taimiyyah yang mengatakan bahawasanya sesiapa yang menziarahi makam Nabi (s.a.w) hukumnya adalah haram, begitu juga perjalanaan untuk pergi menziarahinya adalah maksiat ( suatu dosa ) dan tidak boleh diqasarkan solat.

3) Saif Assoqil fi Roddi Ala Ibn Zafil menentang Nuniah (Seperti syair) yang dikarang oleh anak muridnya iaitu Ibn Qayyim Al-Jauziyyah.
Sejarawan Islam iaitu Ibn Syakir Al-Kutubi juga merupakan anak murid kepada Ibn Taimyyah menyebut di dalam kitabnya Uyun Attawarikh: " Bahawasanya Qadi Al-Qudhoh yang empat iaitu darpada mazhab Al-Maliki, Al-Hanafi, Assyafie dan Al-Hambali bersepakat dan mengambil keputusan bahawa Ibn taimyyah telah sesat dan menyesatkan umat dan wajib menjauhkan diri daripadanya.

Ibn Hajar Al-Haitami yang terkenal dalam mazhab Assyafie telah berkata dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Hadithiyyah ketika ditanya: "Ibn Taimyyah telah menentang dan mengingkari golongan sufi ( tasawuf ) dan telah mengingkari banyak perkara dalam masalah usul dan furuk ( aqidah dan fekah ) maka apakah yang menyebabkan terjadinya demikian", maka soalan itu telah di jawab oleh beliau "Ibn Taimiyyah adalah seorang hamba yang di sisihkan, disesatkan, dibutakan, dibisukan dan dihinakan oleh Allah, oleh yang demikian para ulama telah bangun menerangkan kesesatan dan penyelewengannya dalam agama dan mendustakan kata-katanya yang sesat( fatwanya ), sesiapa yang ingin tahu dengan lebih lanjut rujuklah kepada kata-kata Al-Imam Almujtahid yang telah disepakati oleh ulama tentang ketokohannya dan kemuliannya yang mana beliau telah sampai ke darjat mujtahid mutlak Abu Al-Hasan Taqiyyuddin Assubki dan anaknya Tajuddin Assubki, Syeikh Al-Imam Al-Izzu b. Jamaah dan ulama-ulama yang lain yang sezaman dengan mereka itu daripada mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi.

Penentangan Ibn Taimiyyah bukan setakat kepada ahli-ahli sufi yang mutakhir bahkan penentangannya kepada orang lain seperti penentangannya kepada Saidina Omar dan Saidina Ali ( r.a ), hasil daripada itu kata-katanya tidak berharga bahkan dilemparkan dijalanan. Diiktikadkan bahawa dia adalah pembuat bid`ah yang sesat dan menyesatkan lagi jahil. Sesungguhnya Allah telah membalas perbuatannya dengan keadilanNya. Semoga kita di hindari oleh Allah daripada mengikuti jejak langkahnya didalam aqidah dan perbuatannya".

Seorang ulama tafsir yang bernama Abu Hayyan Al-Andalusi pengarang kitab tafsir Al-Bahrul Muhit dan An Nahrul Mad. Di dalam kitabnya An Nahrul Mad dalam tafsir ayat Kursi beliau menyebutkan :"Sesungguhnya aku telah membaca sebuah kitab yang dikarang oleh Ahmad bin Taimiyyah (Ibn Taimiyyah) yang sezaman dengan kami iaitu dengan tulisan tangannya Kitabul Arash telah berkata, 'Sesungguhnya Allah taala DUDUK di atas kursi dan meninggalkan ruang supaya Rasullullah duduk di atasnya bersamaNya". Selepas itu Abu Hayan sentiasa melaknati Ibn taimiyyah sehinggalah akhir hayatnya, perkara ini disebut oleh Al-Hafiz Murtadho Az Zabidi di dalam kitabnya Ithaf As Sadah Al- Muttaqin Syarah Ihya' Ulumuddin.

Kata-kata Ibn Taimiyyah yang seperti itu termaktub juga dalam bukunya yang lain iaitu Al-Fatawa Al-Kubra di mana beliau berkata:"Sesungguhnya ulama-ulama yang terpilih dan wali-wali Allah yang hampir kepada-Nya berkata bahawa Nabi Muhammad Rasulullah akan didudukkan oleh tuhannya di atas Arasyh bersama Allah". Ini adalah satu pembohongan yang nyata terhadap ulama-ulama dan wali-wali Allah kerana ini adalah akidah orang-orang Yahudi. Sesungguhnya para ulama dan wali tersebut tidak pernah berkata demikian dan apa yang dinyatakan oleh Ibnu Taimiyah ini adalah satu pembohongan terhadap mereka.

JELAS BAHAWA WAHABI YANG MENDAKWA MEREKA ADALAH SALAFIYYUN ADALAH SATU PENIPUAN. ZAMAN SALAF ADALAH SETAKAT KURUN KE 3 HIJRAH SEDANGKAN IBN TAIMIYYAH YANG MENJADI IDOLA WAHABI ITU LAHIR PADA KURUN KE 7. DI MANAKAH KESALAFIANNYA?????

DIHARAPKAN MEREKA YANG BERFAHAMAN WAHABI MENDAPAT HIDAYAH DARI ALLAH DAN KEMBALI KE PANGKAL JALAN.

No comments :

Post a Comment