IKLAN NUFFNANG

Tuesday, January 26, 2010

NASIHAT IMAM AL-GHAZALI

TINGGALKAN EMPAT PERKARA...

 Aku ingin menasihatkan kamu dengan lapan perkara.Terimalah nasihatku ini agar ilmumu tidak menjadi seterumu pada Hari Qiamat nanti.Beramallah dengan empat perkara dan tinggalkanlah empat perkara lagi...


Perkara-Perkara Yang Perlu Kamu Tinggal;

PERTAMA

 Janganlah kamu berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu  perkara seboleh yang mungkin.Perbahasan ini sebenarnya lebih mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.Perbahasan adalah punca kepada semua akhlak yang buruk seperti riak,hasad, bongkak,dengki,bermusuhan,bangga diri dan sebagainya.

 Tetapi kamu diharuskan untuk berbahas dengan seseorang sekiranya niatmu untuk menegakkan kebenaran,sedangkan yang berbahas denganmu itu sendiri jahil orangnya.Walau bagaimanapun niatmu itu hendaklah mempunyai dua tanda;

a) Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira kebenaran itu di sebelah pihakmu ataupun di sebelah lain.

b) Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.

 Ketahuilah bahawa orang yang jahil itu tidak sihat hatinya. Manakala para ulama' adalah 'doktor'yang dapat mengubati mereka ini.

 Ulama' yang tidak lengkap ilmunya tidak dapat mengubati penyakit dengan baik.Ulama' yang lengkap ilmunya pula tidak dapat mengubati setiap penyakit.Ia hanya berupaya mengubati mereka yang mahu menerima rawatan dan mahukan kebaikan.Sekiranya penyakit itu sudah terlalu parah atau mandul atau yang sudah tidak dapat diubati lagi, maka doktor harus pintar untuk memberitahu pesakit mengenai perkara itu.Dengan itu tidak perlu dibazirkan masa dan wang untuk cuba mengubatinya lagi.

 Dan ketahuilah bahawa terdapat empat jenis kejahilan.Satu daripadanya boleh dirawat manakala yang lainnya tidak dapat diubati.

Jenis-Jenis Kejahilan Yang Tidak Dapat Diubati ialah;

a) Sesiapa yang menyoal dan mengkritik hanya kerana hasad dan rasa marah.

 Setiap kali kamu menjawab soalannya dengan baik,dia kan bertambah marah,malah semakin memusuhi kamu dan membencimu.Oleh itu tidak usah kamu melayannya.Seorang penyair pernah menyatakan bahawasanya;

"SETIAP PERMUSUHAN BOLEH TERHAPUS,KECUALI PERMUSUHAN ORANG YANG..
MEMUSUHIMU KERANA HASAD DAN DENGKI"

 Kamu harus menjauhkan diri daripada orang seperti ini.Biarkan ia dengan penyakitnya itu.Firman Allah Ta'ala yang bermaksud;

"Dan berpalinglah(wahai Muhammad) dari mereka yang berpaling daripada peringatan Kami dan tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi" (an-Najm : 29)

 Segala perkataan dan perbuatan orang yang berhasad dengki hanya akan menyalakan api yang membakar segala ilmunya.Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud;

"Hasad itu menghapuskan amalan kebaikan seperti mana api memakan kayu api" (Riwayat Abu Daud)

b) Kejahilan yang disebabkan oleh kebodohan.

 Orang yang mempunyai penyakit ini juga tidak dapat diubati. Seperti kata-kata Nabi Allah Isa a.s;

"Aku berupaya menghidupkan orang mati (dengan Izin Allah)  tetapi aku tidak berupaya mengubati orang yang bodoh"

 Sebagai contoh,seperti seorang yang baru sedikit sahaja menuntut ilmu.Ia merasa dengan ilmunya itu sudah cukup lalu cuba membangkang gurunya yang sememangnya sudah masak dengan ilmu tersebut.Oleh kerana ia merasakan masalah yang diutarakannya itu adalah menjadi masalah kepada gurunya,maka dia akan bertanya soalan demi soalan yang bodoh sahaja.Oleh itu,seharusnya soalan-soalan seperti itu juga tidak dilayan.

c) Orang yang mahu ditunjuk ajar tetapi kemampuannya terbatas.

 Dia sering menyalah tafsir kata-kata ulama' yang kurang difahaminya.Ia sebenarnya suka untuk bertanya mengenai sesuatu perkara tetapi disebabkan akalnya yang tidak dapat menangkap dengan baik,maka soalan-soalannya itu juga tidak perlu dilayan.seperti sabda Baginda s.a.w yang bermaksud;

"Kami para anbiya',kami diperintahkan untuk bercakap kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka" (Riwayat al-Iraqi)

 Manakala kejahilan yang boleh diubati ialah seorang yang minta ditunjuk ajar dan dia sendiri seorang yang cerdik dan cergas pemikirannya dan mudah untuk difahami.Ia tidak dikuasai oleh perasaan hasad dengki,keras hati atau sengaja untuk menguji.Oleh itu kamu harus,malah wajib menjawab segala persoalan yan diajukannya.

KEDUA

 Elakkan diri daripada menjadi pendakwah dan mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya.Renungilah apa yang telah dikatakan oleh Nabi Allah Isa a.s;

"Wahai anak Maryam,nasihatkanlah dirimu dahulu.Sekiranya ia menerima nasihatmu itu,barulah kamu nasihatkan orang lain.Jika tidak,maka malulah pada Tuhanmu"

 Dakwah bererti seseorang itu mengingati Hari Akhirat,dan betapa kurangnya ia mengingati Tuhannya.Ia memikirkan tentang umurnya yang telah lalu yang telah dibazirkannya begitu sahaja.Ia berfikir tentang akibat-akibat yang mungkin diterimanya disebabkan iman yang belum pasti pada penghujung hayatnya nanti.Ia berfikir bagaimana malaikat maut akan mencabut nyawa dan apakah ia berupaya untuk menjawab soalan-soalan malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur nanti.

 Ia juga memikirkan tentang keadaan dirinya di Hari Qiamat nanti.Adakah ia dapat melintasai Titian Siratal MustaQim dengan selamat atau akan terjerumus ke dalam lubang api neraka.

 Perkara-perkara ini akan sentiasa bermain dalam fikirannya sehingga menyedarkannya dari kealpaan.Api neraka yang marak membakar dan jeritan-jeritan azab itulah yang dikatakan dakwah dan peringatan.

 Seterusnya dia akan berkongsi apa yang difikirkannya dengan orang lain.Ia menginsafkan mereka tentang kekurangan amalan mereka serta penderhakaan mereka terhadap perintah Allah Ta'ala.Ia menunjukkan mereka keaiban diri mereka sehingga semua yang mendengar dapat membayangkan betapa hangatnya api neraka dan betapa pedihnya azab di dalamnya.dengan itu mereka dapat menampung keterlanjuran mereka pada masa lampau dengan segala kemampuan yang ada.Mereka juga merasa kesal dengan segala waktu yang telah mereka bazirkan dahulu.

 Semua ini disebut peringatan dan dakwah.Seorang pendakwah mestilah bersungguh-sungguh dalam dakwahnya tetapi bahasa dan kata-katanya hendaklah mudah difahami.Keadaannya adalah seperti engkau melihat satu banjir kilat yang besar,tiba-tiba menuju ke rumah seseorang,sedangkan dia dan keluarganya di dalam rumah itu tidak mengetahui dan menyedari.Tentunya engkau akan menjerit dengan sekuat hati mengarahkan mereka menyelamatkan diri.Dalam keadaan ini.adakah kamu akan menggunakan perkataan-perkataan yang sukar difahami atau hanya dengan nada berseloroh atau pun hanya dengan bahasa isyarat sahaja?Begitulah juga halnya seorang pendakwah.Ia juga patut menjauhkan hal yang seperti itu.

 Jangan pula kamu terpedaya dengan sambutan manusia terhadap ceramahmu,kononnya majlis itu adalah yang terbaik dan banyak menyedarkan mereka.Ini semua adalah bukti bahawa hati yang cenderung kepada dunia dan sifat riak yang berpunca daripada kealpaan terhadap Allah s.w.t.Sebaliknya kamu mestilah menumpukan usahamu untuk mengajak manusia daripada memikirkan soal-soal dunia semata-mata kepada memikirkan soal-soal akhirat.daripada maksiat kepada taat.Daripada sikap suka membolot harta kepada zuhud.Daripada bakhil kepada pemurah.Daripada sombong kepada taQwa.Kamu hendaklah berusaha menjadikan mereka supaya mencintai akhirat dan membenci keduniaan.Kamu mengajar mereka ilmu ibadah dan zuhud.Biasanya manusia sering kali cuba melencong dari jalan yang ditunjukkan oleh syara'.mengerjakan perkara yang tidak diredhai Allah Ta'ala dan bermegah dengan akhlak yang buruk.

 Dengan hati yang sebegini,kamu hendaklah mencampakkan perasaan gentar dan takut di dalamnya.Berikan peringatan kepada mereka tentang azab yang bakal mereka tempuhi.Semoga dengan peringatan ini,hati dan akhlak mereka akan berubah.Lalu mereka akan lebih berwaspada dan berminat untuk melakukan ketaatan dan menjauhkan diri daripada maksiat.Dakwah dengan cara menyampai berita buruk sebegini amat berkesan sekali.Dan setiap peringatan yang bukan berbentuk sebegini adalah ibarat mencurah air ke daun keladi.

KETIGA

 Jangan bergaul denga para pemimpin dan pembesar yang zalim, malah kalau boleh jangan bertemu dengan mereka.

 Berjumpa dan bergaul dengan mereka banyak padahnya.Dan sekiranya kamu terpaksa,maka jangan sekali-kali kamu memuji mereka kerana Allah s.w.t amat murka sekiranya orang fasik dan zalim itu dipuji.Dan sesiapa yang mendoakan supaya dipanjangkan umur mereka,maka dia sebenarnya suka agar Allah Ta'ala didurhakai di atas muka bumiNya ini.

KEEMPAT

 Jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pembesar walaupun kamu tahu yang itu adalah pemberian dari sumber yang halal.

 Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama.Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka.Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan.Ini semua akan merosakkan agama.Dan sekecil-kecil mudharat ialah apabila kamu menerima pemberian mereka,kamu akan merasa sayang terhadap mereka.Seterusnya kamu akan mendoakan agar mereka kekal lama pada kedudukan mereka.Mengharapkan seseorang yang zalim itu kekal lama pada tempatnya adalah seperti mengharapkan kezaliman terus berpanjangan ke atas hamba-hamba Allah dan agar alam ini musnah sepenuhnya.Apa lagi yang lebih buruk daripada itu terhadap agama ini?

 Kamu juga harus berwaspada agar tidak disesatkan oleh syaitan melalui kata-kata sebahagian manusia kepadamu,"Lebih baik kau ambil wang yang mereka berikan itu.Kamu boleh membahagikannya kepada fakir miskin.Kalau engkau biarkan mereka membelanjakannya wang tersebut, sudah tentu mereka menggunakannya untuk kemaksiatan"

 Sesungguhnya ramai manusia telah disesatkan oleh syaitan dengan cara ini.Semuanya telah termaktub di dalam Kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.

LAKUKAN EMPAT PERKARA......