IKLAN NUFFNANG

Tuesday, January 26, 2010

NASIHAT IMAM AL-GHAZALI 2

Empat perkara yang mesti engkau lakukan ialah;

PERTAMA

 Bermuamalah lah (berurusan lah) dengan Allah seperti mana kamu suka orang bawahanmu berurusan dengan mu.

 Kamu tidak berasa bingung dan marah dengannya dan apa yang kamu tidak suka dilakukan oleh orang bawahanmu,maka Allah Ta'ala juga tidak suka perlakuan sedemikian kerana Allah Ta'ala itu adalah Tuhanmu yang hakiki.

KEDUA

 Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain,perbuatlah seperti kamu memperbuat di atas diri mu.

 Bahawasanya tidak sempurna iman seseorang itu selagi mana ia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

KETIGA

 Sekiranya kamu ingin mempelajari sesuatu,pilihlah ilmu yang dapat memperbaiki hati dan menenangkan jiwamu.

 Sekiranya kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi yang masih berbaki,sudah pasti kamu tak akan memilih untuk mempelajari ilmu Feqh,khilaf ulama',ilmu kalam dan sebagainya,sebaliknya kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia.Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk beribadat kepada Allah Ta'ala pada setiap saat.Oleh itu,kamu hendaklah berakhlak mulia sentiasa kerana sesungguhnya maut akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

 Bayangkanlah sekiranya pemimpin sebuah negara bercadang untuk melawat rumahmu seminggu lagi,sudah tentu kamu akan sibuk menyiapkan serta memperbetul dan menghias segala perkara yang mungkin menarik perhatian pemimpin itu;pakaian,tubuh badan,perkarangan dan perhiasan di dalam rumah dan sebagainya.

 Fikirkanlah seperkara lagi.Orang yang bijak seperti mu tidak memerlukan syarahan yang panjang untuk mengerti.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak memandang rupa dan amalanmu,tetapi Allah Ta'ala akan memandang kepada hati dan niatmu" (Riwayat Muslim)

 Sekiranya kamu berhajat untuk mengetahui tentang perihal hati, nescaya kamu akan memperolehinya di dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin dan kitab-kitabku yang lain.Sesungguhnya menuntut ilmu mengenai hati hukumnya Fardhu 'Ain.Ilmu-ilmu yang lain cukuplah kamu belajar sekadar dapat menunaikan segala perkara yang wajib dengan sempurna.Manakala selebihnya adalah Fardhu Kifayah dan Allah Ta'ala akan bersamamu sehingga kamu memperolehi segala ilmu tersebut.

KEEMPAT

 Janganlah kamu mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.

 Rasulullah s.a.w sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk sebahagian isteri-isteri Baginda yang lebih kukuh imannya hanya disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja.

SIFAT HAMBA YANG MULIA DI SISI ALLAH TA'ALA

1) Sopan santun dan merendah diri serta tidak sombong.
2) Pada malam hari,dia bangun bertahajjud kepada Allah s.w.t
3) Takut akan siksaan Allah dan selalu berdoa untuk dijauhkan diri daripada siksaan tersebut
4) Bersederhana dalam membelanjakan hartanya
5) Bebas dari perbuatan syirik
6) Bertaubat dan mengerjakan amalan soleh.


HAKIKAT TAUBAT

 Mempunyai 3 unsur seperti mana yang dijelaskan oleh Hujjatul Islamal-Imam al-Ghazali r.a

1) ILMU - Taubat itu mestilah berdasarkan kesedaran dan ilmu,ertinya mengetahui dengan sedar bahawa perbuatan yang kita lakukan itu adalah perbuatan dosa.
2) KEADAAN - Sesudah hal itu diketahui, hendaklah timbul suatu keadaan( jeritan) dalam hati iaitu perasaan menyesal.
3) PERBUATAN - Dari 2 unsur di atas,maka lahirlah niat yang kuat dan sungguh-sungguh bahawa dia tidak akan melakukan dosanya lagi serta kembali mendekatkan diri serta taat kepada Allah Ta'ala.


CIRI-CIRI ORANG BERAKAL

1) Mampu mengambil iktibar dari umat yang terdahulu
2) Peka terhadap permasalahan untuk mencari kebenaran
3) Selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semesta
4) Mahu menyampaikan dan memberi peringatan kepada manusia dan memberi pelajaran tentang keEsaan Allah Ta'ala
5) Menolak keburukan dengan kebaikan.


 TaQwa akan membentuk 7 jenis watak dan sifat-sifat manusia yang baik seperti mana dinyatakan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali r.a;

1) Lidahnya terpelihara daripada berbohong, mencela, mengumpat, menyakiti hati orang dan sebagainya.
2) Hatinya terhindar dari sifat dengki,benci,pendendam dan sebagainya.
3) Matanya terpelihara daripada melihat perkara-perkara yang haram.
4) Perutnya tidak mahu memakan makanan yang haram.
5) Tangannya tidak digunakan untuk melakukan perbuatan yang dosa.
6) Kakinya tidak melangkah ke tempat-tempat maksiat
7) Ketaatannya ikhlas kerana Allah Ta'ala semata-mata,tidak kerana riak atau mengharapkan pujian daripada orang lain.

Wallahu A'lam