IKLAN NUFFNANG

Thursday, April 24, 2014

4 TAHAP KEWANGAN

Terdapat 4 tahap kewangan bagi sesiapa sahaja. Untuk mencapai kejayaan dari segi kewangan, kita perlu ketahui di manakah keadaan kewangan kita kini. Sama seperti dalam mencapai apa sahaja matlamat, kita perlu ketahui di manakah kedudukan kita kini untuk mencapai matlamat tersebut. Dalam kata lain, untuk mencapai ke point B, kita perlu ketahui point A.

Di manakah tahap kewangan anda, adakah ianya pada tahap selamat ataupun tidak selamat? Pastinya semua orang mengimpikan untuk mencapai keadaan bebas kewangan ataupun lebih daripada itu!

Artikel kali ini adalah untuk anda cerminkan kedudukan anda sendiri dari segi kewangan.

Berikut adalah 4 tahap kewangan tersebut. Di manakah tahap kewangan anda?

#1 Kewangan Tidak Selamat (Financially not secure)

Keadaan ini adalah apabila jika anda tidak mempunyai simpanan pun. Dalam erti kata lain, sekiranya ada pun simpanan, anda hanya mampu menyara hidup anda dan keluarga selama sebulan sahaja. Sekiranya anda hilang kerja esok, sebulan sahaja anda dapat hidup tanpa mengubah gaya hidup dengan wang simpanan yang ada.

Tahap ini amat tidak selamat bagi sesiapa pun. Boleh diumpamakan sebagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang! Zaman moden ini seumpama kais bulan ni, makan bulan ni, kasi bulan depan makan bulan depan!

Masalahnya ramai antara kita berada dalam keadaan yang tidak selamat. Bayangkan sekiranya tempat anda kerja terpaksa melepaskan anda esok. Cukupkah simpanan yang anda ada untuk menyara hidup anda dan keluarga selama satu bulan? Sekiranya tidak, maka perlu bunyikan siren amaran bahawa tahap kewangan anda tidak selamat!

#2. Kewangan Selamat (Financially secure)

Ini adalah pilihan yang lebih baik. Ertinya, umpamanya sekiranya anda berhenti kerja atau diberhentikan, anda mempunyai simpanan untuk menyara hidup anda dan keluarga anda selama 6 bulan. Sekiranya anda berada dalam tahap ini, tahniah! Kerana tidak ramai yang berada di sini.

Enam bulan adalah jangka waktu yang logik untuk seseorang itu mendapatkan kerja lain atau memulakan perniagaan untuk menyambung pendapatan sara hidup. Matlamat utama anda sekiranya anda berada di tahap #1 adalah untuk mencapai tahap ini! Cukupkah simpanan anda untuk menyara 6 bulan hidup anda dan keluarga tanpa perlu bekerja!

Bagaimana hendak mencapai keadaan ini? Dengan mengamalkan tabiat menyimpan sekurang-kurangnya 10% pendapatan anda. Sekiranya anda merasakan ianya sukar untuk anda menyimpan 10% daripada simpanan anda, tidak mengapa. Mulakan dengan 2%. Pastinya anda boleh simpan 2% daripada pendapatan anda bukan?

Dengan bermula pada hanya 2%, anda akan menanam tabiat menyimpan dan merasakan ianya mudah untuk menyimpan 2%. Apabila selesa dengan 2%, tambahkan simpanan kepada 4% sehingga rasa selesa dan seterusnya 6%, 8% sehingga 10%.

#3. Bebas Kewangan/Mandiri Kewangan (Financially free)

Ini adalah matlamat bagi ramai antara kita. Tetapi, yang mencapainya adalah amat sedikit. Ertinya sekiranya anda berada di tahap ini adalah anda bebas untuk membuat pilihan untuk bekerja ataupun tidak! Anda mempunyai simpanan atau pun aliran pendapatan secara automatik yang cukup untuk menyara hidup anda sekeluarga sampai bila-bila! Tahap ini, anda tidak perlu kerja lagi (atau menjalankan perniagaan). Namun begitu, ramai yang berada di tahap ini, masih lagi meneruskan karier atau perniagaan kerana berasa seronok melakukannya. Bukan kerana terpaksa tetapi dengan sukarela.

Tips untuk mencapai keadaan ini adalah fikirkan aliran pendapatan berganda secara automatik, contoh seperti menyewa rumah, membina perniagaan yang dikendalikan secara automatik (perniagaan internet) atau membina perniagaan berangkaian (networking business).

#4. Tahap Tersangat Kaya (Ultra Rich)

Tahap ini lagi la sangat sedikit yang capai. Teramat sedikit. Mereka ini jenis yang mempunyai wang yang banyak sehingga tak terpakai wang yang dimiliki. Mereka boleh derma beratus ribu ringgit atau berjuta kepada badan-badan kebajikan yang dipilih. Nama-nama seperti Tan Sri Mokhtar Bukhari, Tan Sri Daim Zainuddin, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan Tan Sri Ananda Krishnan adalah tokoh-tokoh perniagaan yang berada di dalam tahap ini.

Mereka sering memiliki perniagaan besar-besaran yang dikendaikan oleh beribu-ribu pekerja. Sering kali wang yang dimiliki adalah berlebihan dan tidak berbelanja sehingga akhir hayat. Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak membuatkan mereka berhenti melakukan kerja dan menjalankan perniagaan oleh kerana seringkali bagi mereka yang berada di dalam keadaan kewangan ini, melakukan kerja kerana cintakan kerja dan bukan wang!

Di manakah tahap kewangan anda dan ke manakah hala tuju matlamat kewangan anda? Tepuk dada tanya selera!

By Irfan Khairi

No comments :

Post a Comment