IKLAN NUFFNANG

Saturday, February 27, 2010

DOA BAPA DENGAR SUARA UMI TERMAKBUL

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang bapa yang berdoa hampir setiap malam untuk mendengar suara anaknya, Umi Azlim, 26, sejak tiga tahun lalu selepas ditahan pihak berkuasa China atas tuduhan mengedar dadah, termakbul apabila anaknya dibenarkan membuat panggilan telefon kepada keluarganya, baru-baru ini.

Bagi Mohamad Lazim Jusoh, 53, mendengar suara anaknya buat pertama kali pada 7 Januari lalu dan sekali lagi pada 18 Februari, di penjara ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana tidak menyangka doanya akan termakbul.

Katanya, tiada perkara paling indah dalam hidupnya, selain dapat mendengar suara anak sulung yang amat dirindui kerana saat itu amat dinanti-nantikan oleh keluarganya, terutama adik-adik Umi Azlim.

“Setiap kali selepas solat, saya tidak lupa berdoa kesejahteraan Umi, selain meminta supaya menunaikan hasrat untuk mendengar suaranya bercerita keadaannya di sana.

“Sebelum ini, kami hanya berkomunikasi melalui surat setiap bulan. Dalam suratnya Umi sering menceritakan kehidupannya di sana, namun kami tidak puas kerana tidak mendengar sendiri suaranya,” katanya ketika dihubungi di Pasir Putih, Kelantan, semalam.

Akhbar ini, baru-baru ini melaporkan penahanan bekas penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin ke republik itu pada 19 Januari 2007.

Dia dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou pada 15 Mei 2007. Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan dan diganti hukuman penjara seumur hidup, pertengahan 2008.

Menceritakan detik pertama menerima panggilan telefon anaknya, Mohamad Lazim berkata, kira-kira jam 11 malam, 7 Januari lalu, beliau terkejut apabila mendapat panggilan itu.

“Saya seperti tidak percaya... siapa yang tidak terkejut selepas tiga tahun menunggu, akhirnya termakbul. Umi dan saya masing-masing tidak mampu berkata-kata, sebaliknya menangis teresak-esak.

“Umi memaklumkan, mulai 2010, dia boleh membuat panggilan telefon kepada keluarga sekali seminggu selama lima minit. Saya bersyukur, walaupun hanya lima minit, namun ia mengubati kerinduan kami selama ini,” katanya.

Beliau berkata, Umi Azlim sempat berpesan supaya jangan bimbang kerana dalam tempoh tiga tahun dalam penjara, dia sudah mampu membiasakan diri dengan suasana di sana, selain fasih menulis dan berbahasa Mandarin.

“Umi Azlim juga bertanyakan khabar lima adiknya, terutama pasangan kembar, Umi Azmira dan Umi Zulaikha, 19, yang bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta menasihatkan mereka belajar bersungguh-sungguh.

“Saya tahu, Umi sudah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, namun masih memasang harapan dibebaskan dan kembali ke pangkuan kami,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Tabung Dana Umi Azlim, Hua Pang Chow, berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat perundangan China sama ada masih ada cara untuk membebaskannya.

Kata blogger : Cuba bayangkan kita berada di tempat Umi, dipenjarakan seumur hidup. Bagi saya, life at that time is nothing..no life. Tapi cuba bayangkan, kita sudah dijatuhi hukuman MATI dan setelah dibicarakan hukuman kita dikurangkan kepada penjara seumur hidup...Alhamdulillah dan cuba kita bayangkan lagi jika hukuman itu berjaya lagi dikurangkan kepada penjara 10 tahun..Alhamdulillah..dan cuba kita bayangkan lagi kita dibebaskan daripada dijatuhi hukuman tersebut..........Alhamdulillah.

Dan hakikatnya, kita sekarang bebas, pernah kita bersyukur? Tetapi masih ada di kalangan kita yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang diberi dan sering merungut dengan masalah yang remeh-temeh.

Bersyukur dengan nikmat yang kecil sebelum datangnya nikmat yang besar. Jika ada insan beri kita RM1 dan kita tak ucapkan terima kasih padanya, agak-agak ada tak insan tersebut nak beri kita RM100 akan datang?? Tapi, Tuhan tidak, Tuhan berterusan beri nikmat walau hambanya tak bersyukur.

Saya, personally mendoakan akak Umi Azlim dibebaskan segera yang mungkin dan terus tabah menghadapi ujian.

Wallaua'lam